Review filem anime The First Slam Dunk.


Berkesempatan dan diberi peluang untuk tengok kat pawagam salah satu must-see anime iaitu The First Slam Dunk. Filem ni merupakan satu-satunya filem Slam Dunk yang pernah ditayangkan kat pawagam Malaysia. Jadi, rasa macam rugi sangat kalau tak tengok sendiri kat pawagam.

Tajuk: The First Slam Dunk
Genre: Animasi, komedi, drama
Bahasa asal: Bahasa Jepun
Tarikh tayangan: 23 Februari 2023
Tempat tayangan: GSC (Malaysia)

Dalam banyak-banyak pawagam kat Malaysia, tak silap aku, hanya Golden Screen Cinemas (GSC) yang diberi lesen untuk tayang filem ni. Aku ada kat Putrajaya atas beberapa urusan. Jadi, macam pepatah mujur Pak Belalang (dapat untung secara kebetulan), harus lah ke pawagam untuk tengok filem The First Slam Dunk ni.

Mengenai Slam Dunk



Untuk info kontot, Slam Dunk merupakan manga (komik) dan anime (animasi) dari Jepun yang menceritakan pasal sukan bola keranjang. Watak utamanya, Hanamichi Sakuragi, cukup terkenal dalam kalangan peminat setia manga dan anime.

Pernah tak lama dulu NTV7 tayang anime bersiri Slam Dunk. Dalam tahun 2001 - 2002 tak silap aku. Waktu tu main tiap pagi Sabtu (dan tengah hari lepas puluh-puluh episod). Memang antara anime yang wajib tengok.


Komik pulak, salah satu syarikat penerbit komik Jepun alih bahasa utama kat Malaysia iaitu Tora Aman pernah terbitkan komik bersiri Slam Dunk yang diterjemahkan kepada Bahasa Melayu iaitu Pembolos Keranjang. Siapa yang membesar pada era Slam Dunk kat Malaysia ni, pasti tahu pasal komik ni.

Beli tiket kebetulan


Berbalik kepada The First Slam Dunk. Sebenarnya aku tak plan pun nak tengok filem ni. Aku plan nak tengok filem Suzume. Tapi sebab tak nak lepaskan peluang yang jarang timbul macam ni, maka aku pun pergi lah tengok filem Slam Dunk ni.


Aku beli tiket online guna app GSC. Nak cop tempat. Nanti tak pepasal sold out kalau nak beli kat kaunter pawagam. Harga sekeping tiket RM13. Mujur pergi pagi. Kalau malam, harga lain. RM21 sekeping. Mahal kan? Tak tahu kenapa macam tu.

Dalam pawagam ni tak ramai orang. Memang aku dah jangka. Sebab kalau bab anime, penonton GSC Alamanda tak sebanyak macam kat tempat lain. Dewan pun kecik je. Tapi best. Makin tak ramai orang, makin tenang rasanya nak layan filem kat pawagam. Nanti takde lah nak kena tahan telinga dengar suara-suara pengulas tak bertauliah kat sekeliling. 😂

2D plus 3D


Gaya animasi filem The First Slam Dunk ni tak macam versi anime asal. Selalunya anime akan kekalkan style 2D. Tapi filem ni menggabungkan 2D dan 3D. Nampak lebih matang. Untuk mereka yang gemarkan style 2D, mesti akan rasa sedikit kecewa. Tapi bagi aku, style 2D dan 3D ni cun je. Nampak kemas dan jelas muka-muka karakter yang matang.


Filem ni bukan lah kesinambungan manga dan anime bersiri Slam Dunk. Sebab cerita dan plot filem ni bukan lah tertumpu kepada watak utamanya iaitu Hanamichi Sakuragi. Tapi watak sampingan iaitu Ryota Miyagi.


Kisah perjalanan hidup Ryota dari kecil sampai lah dia bergelar pemain bola keranjang profesional. Kisah Hanamichi dan watak lain? Ada, tapi kurang dipaparkan. Jadi, secara overall, filem ni merupakan kisah Ryota Miyagi.

Kalau nak dibandingkan dengan anime dan filem Slam Dunk sebelum ni, aku rasa The First Slam Dunk ni biasa-biasa je. Plot pun macam memaksa penonton macam aku ni menangis walaupun aku jenis tak suka nak feeling-feeling dalam pawagam.

Yang hebatnya, dari segi style animasi yang menggabungkan elemen 2D dan 3D. Nampak bukan je moden tapi futuristik dan mahal gitu. Entah berapa lah bajet yang diorang labur untuk buat filem ni kan?

Dapat merchandise percuma


Walaupun aku tak mampu nak join fan screening tak lama dulu yang harga tiketnya cecah RM200 dan diberi beberapa merchandise eksklusif, tapi dapat jugak aku kad istimewa Slam Dunk ni.



Kad ni sangat berharga buat peminat marhaen macam aku ni. Nak beli yang mahal tak mampu. Dapat sekeping macam ni, excited bukan kepalang.

Next movie? Macam aku info, plan nak tengok Suzume. Kalau sempat lah. Kalau tak, aku tengok dalam Astro atau Netflix je lah nanti. Mungkin jugak beli DVD sebab selalunya DVD lagi cepat muncul.

 P.S. Penyanyi Malaysia, Aris Ariwatan pernah sumbang suara Bahasa Melayu bagi watak Hanamichi Sakuragi dalam anime Slam Dunk kat NTV7.

Post a Comment

0 Comments